Monday, October 25, 2010

Sikit lagi mengenai Tun Mahathir

Salam rakan2...boleh la baca serba sedikit yg ditulis oleh Salamah

Teater Tun Dr. Mahathir mengisahkan perjalanan kehidupan Tun Dr. Mahathir yg dilahirkan pada hari Jumaat tanggal 20 Disember 1925. Putera kepada pasangan Mohamad bin Iskandar dan Wan Tempawan binti Wan Hanafi ini dilahirkan di Alor Setar, Kedah. Bapa beliau adalah seorang guru Bahasa Inggeris.

Tun merupakan anak bongsu dikalangan sembilan orang adik-beradik. Dr. Mahathir memulakan alam persekolahan di Sekolah Melayu Seberang Perak pada tahun 1930 selama dua tahun. Dari kecil beliau dipupuk minat membaca. Beliau melanjutkan pengajian menengah di Goverment English School, Alor Setar yang kini dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid. Beliau tamat dengan keputusan Senior Cambridge yang cemerlang pada tahun 1945.

Pada zaman remaja semangat beliau sayang akan Negara semakin ketara dengan penubuhan Parti Pemuda Kedah menentang Malayan Union. Dalam tahun 1947, selepas tamat pengajian peringkat menengah, Dr. Mahathir telah ditawarkan biasiswa Kedah untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura. Semasa di Kolej, beliau merupakan seorang pelajar yang tekun dan bersungguh-sungguh dalam pelajaran, dan sentiasa mengambil berat tentang kebajikan pelajar-pelajar lain.

Pada tahun 1953, beliau telah dianugerahkan Ijazah Doktor Perubatan (M.B.B.S) dari University of Malaya. Berbekalkan kelulusan berkenaan, Dr. Mahathir telah memulakan perkhidmatannya dalam kerajaan dengan menjadi doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang. Pada tahun 1954, Dr. Mahathir telah dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Besar Alor Setar bagi memenuhi kontrak biasiswanya. Beliau juga telah memberikan khidmat perubatan di Langkawi, Jitra dan Perlis.

Perkenalan dengan seorang gadis dari Selangor bernama Siti Hasmah Mohd Ali (kini Tun Dr. Siti Hasmah) yang mengikuti bidang pengajian yang sama di King Edward VII Collage of Medicene berlanjutan sehingga mereka menamatkan pengajian masing-masing. Hubungan erat yang terjalin semasa di Singapura telah diakrabkan lagi setelah kedua-duanya diijabkabulkan sebagai suami isteri pada Ogos 1956. Pasangan bahagia ini telah dikurniakan tujuh orang cahayamata iaitu Marina (kini Datin Paduka Marina), Mirzan, Melinda, Mokhzani (kini Datuk Mohzani), Mukriz ( kini Datuk Mukriz), Maizura dan Mazhar.

Pada tahun 1957, setelah tamat kontraknya dengan kerajaan, Dr. Mahathir dengan bantuan dan kerjasama Dr. Siti Hasmah telah membuka klinik persendirian yang bernama Klinik MAHA, di Jalan Tunku Ibrahim, Alor Setar. Klinik MAHA merupakan klinik Melayu pertama di Negeri Kedah. Selain daripada perkhidmatan perubatan, klinik MAHA juga telah menjadi pentas untuk beliau menjalankan aktiviti-aktiviti perkhidmatan komuniti setempat.
Keperihatinan beliau terhadap masalah ekonomi dan politik Melayu telah diluahkan dalam bentuk rencana-rencana yang diterbitkan oleh Sunday Times di bawah nama pena 'C.H.E Det' antara tahun 1946-1950. Penulisan merupakan satu dari minat Tun Dr. Mahathir hinggalah ke hari ini. Pada tahun 1945, semasa beliau masih dibangku sekolah, Tun Dr. Mahathir telah menjadi penyunting Darulaman, majalah rasmi keluaran Kolej Sultan Abdul Hamid..

Penglibatan Tun Dr. Mahathir di dalam arena politik tidak begitu ketara dalam tahun-tahun 1950an disebabkan beliau masih menuntut di Universiti. Walau bagaimanapun, beliau terus menulis esei dan komentar mengenai isu-isu sosio-politik negara di akhbar The Straits Times. Perletakan jawatan sebagai doktor kerajaan pada tahun 1957 telah membolehkan Tun Dr. Mahathir bergiat semula didalam bidang politik. Beliau telah dipilih untuk bertanding pada pilihanraya negeri tahun 1959, tetapi menolaknya.

Semasa pilihanraya umum tahun 1964, Tun Dr.Mahathir diberi kepercayaan menjadi calon dan seterusnya berjaya memenangi kerusi Parlimen Kota Setar di atas tiket Parti Perikatan. Bermula dari sinilah beliau menempa nama di kalangan masyarakat dan senario politik negara.

Selepas memenangi pilihan raya umum pada tahun 1964, Tun Dr. Mahathir dilantik sebagai Ahli Parlimen. Bagaimanapun, beliau hilang kerusi pilihan raya umum berikutnya iaitu pada tahun 1969.

Kecenderungan dan minatnya yang mendalam dalam bidang pendidikan membolehkan beliau dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pendidikan Tinggi yang pertama tahun 1968, Ahli Majlis Penasihat Pendidikan Tinggi pada tahun 1972, Member Of the University Court and University of Malaya council serta Chairman of the National University Council pada tahun 1974. Tun Dr. Mahathir dilantik sebagai Senator pada tahun 1974. Beliau melepaskan jawatan ini untuk membolehkannya bertanding pada pilihan raya umum tahun 1974 yang mana beliau menang tanpa bertanding.

Berikutan daripada pilihanraya itu, Tun Dr. Mahathir dilantik sebagai Menteri Pelajaran. Sebagai Menteri Pelajaran, langkah pertama dalam perancangan beliau adalah mengubah polisi pendidikan negara supaya ianya menggambarkan usaha-usaha ke arah menghapuskan kemiskinan dan mewujudkan keadilan untuk semua dan memastikan semua individu diberi peluang membaiki taraf hidup mereka. Sepanjang menjadi Menteri Pelajaran, beliau mengekalkan pembaharuan seperti peluang yang lebih kepada anak Melayu melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi, mengubah kuota kemasukan, dan beberapa kriteria kemasukan ke pusat-pusat tersebut, mengadakan biasiswa dan menubuhkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Kemenangan beliau di dalam pertandingan kerusi Naib Presiden dalam Perhimpunan Agong UMNO (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu) tahun 1975 telah menyumbang kepada kejayaan politik beliau.

Berikutan kembalinya Tun Abdul Razak ke Rahmatullah dan perlantikan Tun Hussein Onn sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-3 dan Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir telah dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri dimasa yang sama menjadi Timbalan Presiden Parti.

Daripada jawatan Menteri Pendidikan, beliau berpindah ke Kementerian Perdagangan dan Industri dalam tahun 1978. Beliau juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Kabinet dimana beliau tidak putus-putus menggalakkan perdagangan dan pelaburan asing.

Kemenangan Tun Dr. Mahathir dalam pilihanraya umum tahun 1978 telah membolehkan beliau mengekalkan jawatannya di dalam kabinet dan parti. Akhirnya, pada 16 Julai 1981 berikutan perletakan jawatan Perdana Menteri oleh Tun Hussien Onn atas sebab kesihatan, Tun Dr. Mahathir telah dipilih menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri yang ke- 4 pada usia 55 tahun.
Tun Dr. Mahathir digelar "Bapa Pemodenan Malaysia" dan merupakan pemimpin yang paling lama memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, iaitu dari 16 Julai 1981 hingga 31 Oktober 2003.

Sepanjang 22 tahun beliau memegang jawatan pentadbiran tertinggi negara, banyak kemajuan dan pembangunan yang telah beliau rancang dan laksanakan. Walaupun kadangkala cetusan idea dan wawasan beliau kurang difahami, namun hakikatnya beliau merupakan seorang yang berpandangan jauh dan terkehadapan, malah lebih jauh daripada pemikiran orang Melayu khususnya.
Dalam usaha melakar nama negara di arena antarabangsa, pelbagai projek gergasi telah diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir. Antara yang terawal ketika beliau baru memegang jawatan sebagai Perdana Menteri ialah projek pengeluaran kereta proton melalui HICOM (Heavy Industries Corporation of Malaysia).

Selain projek kereta nasional, satu lagi projek besar (mega project) yang beliau cetus ialah Koridor Raya Multimedia atau Multimedia Super Corridor (MSC). Projek ini ilhamkan dan direalisasikan memandangkan Dr. Mahathir telah sedar akan peri pentingnya teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam dunia perdagangan masa kini dan masa depan.

Projek-projek besar yang dibangunkan dan direalisasikan semasa beliau menjadi 'CEO' Malaysia antaranya ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Stadium Nasional Jalil, Litar Antarabangsa Sepang, tempat perlumbaan sukan permotoran berprestij, Formula One dan Menara Berkembar Petronas.

Projek-projek ini secara tidak langsung berjaya meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara sedang membangun yang dikenali dunia. Malah corak pentadbiran dan ketegasan yang ditunjukkan oleh Tun Dr. Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri menyebabkan negara ini disegani dunia.Sepanjang tempoh 22 tahun sebagai Perdana Menteri, Dr. Mahathir telah membawa Malaysia ke persada kecemerlangan. Malaysia telah melalui pelbagai pembaharuan fizikal, mental dan sosial. Malaysia telah menjadi negara yang disegani dan dihormati di pentas dunia. Malaysia mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dikalangan negara-negara maju dunia. Kejayaan Malaysia sebagai negara membangun dan sebuah negara Islam yang unggul di rantau ini telah diiktiraf dunia. Warisan pusaka yang ditinggalkan oleh Tun Dr. Mahathir dapat kita lihat berada di mana sahaja

No comments:

Post a Comment